Thursday, February 1, 2007

Cerpen:Hadiah Pengorbanan

HADIAH PENGORBANAN
Intan Zurina


Berkali-kali aku membelek-belek Majalah Wanita di ruang tamu. Seorang diri. Bosan. Sebaik mendirikan rumah tangga dengan Khairil, jejaka pilihan aku sendiri, aku berhenti kerja. Kata Khairil dia masih mampu menyara aku dan dia tidak mahu tugas aku sebagai isteri terabai jika aku bergelar seorang isteri yang bekerjaya. Aku malas hendak bertekak. Walaupun perit giler nak mensia-siakan ijazah yang aku ada tapi aku turutkan jua. Kata umi, selagi permintaan suami tak melanggar syriat, kita kena turutkan, syurga kan di telapak kaki suami.

“Dah masak?” sapa Khairil ketika aku menyambutnya pulang di muka pintu.

Aku tersenyum kambing. Kata umi, kalau suami balik kerja sambut dengan muka yang manis, supaya hilang penat suami bekerja seharian. Abih tu suami tunjuk muka penat takpe. Aku yang dok umah ni lagi penat tau. Dok melongo tak tentu pasal.

“Dah. Abang nak minum ke?” aku menyambut briefcase di tangannya.

“Boleh jugak. Lepas Zuhur abang turun makan,” Khairil melangkah ke bilik. Aku hanya memerhati.

Setahun aku bersama Khairil. Sikapnya tidak seperti ketika di kampus. Dia terlalu gila kerja. Egonya semakin ketara selepas kami berumahtangga. Mungkin kerana bergelar seorang ketua keluarga dia semakin serius. Sebagai balasan, aku harus menjadi seorang isteri yang taat. Berada di rumah menguruskan perihal rumahtangga dan keluarga.

“Raya Haji tahun ni umi ajak balik Segamat, abah ada buat korban,” aku memulakan bicara ketika di ruang makan.

Aku cukup malas berbicara tentang ini. Masih aku ingat Hari Raya Aidiladha yang kami sambut selepas sebulan bergelar suami isteri, Khairil berkeras ingin berada di rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Katanya pulang ke Segamat memeningkan kepalanya. Anak saudara yang ramai dan aktiviti korban memenatkannya.

“Hanyir satu badan,” katanya selepas membantu abah melapah daging korban tahun lepas.

Aku hanya membisu. Sebagai anak tunggal dan membesar dalam keluarga yang kaya raya semua itu amat menyusahkan Khairil. Untuk apa susah-susah melaksanakan korban kalau semua itu boleh dapat di pasar raya?

“Berapa ekor lembu pulak? Tahun lepas sekor…Tahun ni dua?Tiga?” tinggi suara Khairil.

Aku tidak segera menjawab. Aku faham maksudnya. Dia tidak mahu pulang ke kampung.

“Tengok la…Abang cadang raya kat Kuala Lumpur je. Lagipun abang Long, Kak Ngah dengan Achik kan ada. Diorang mesti raya kat Segamat,” Khairil mengemukakan lagi cadangan membuatkan aku lebih faham maksudnya.

“Tapi raya puasa hari tu dah raya kat Kuala Lumpur…,”kataku tersekat-sekat. Tidak berani menatap mata Khairil.

“Apa bezanya? Sama je kan? Mak ayah abang, mak ayah Ain jugak kan?”Khairil masih dengan pendiriannya.

Aku hanya tunduk menjamah nasi. Seleraku hilang. Khairil sudah habis menjamah makanannya. Dia terus menghilang ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar dengan pakaian kerjanya dan briefcasenya.

“Abang balik lambat sikit. Ada meeting, lepas tu nak pergi tengok tapak projek. Atas katil ada novel baru sampai pagi tadi kat office. Ain bacalah kalau boring-boring. Abang pergi dulu.”

Aku tersenyum tawar dari dapur.

“Hati-hati, bang,” kataku perlahan. Sama ada dengar atau tidak aku tak tahu.


Wad 4 agak sunyi. Umi, abah, mama dan papa baru sahaja pulang. Aku masih setia di sisi Khairil. Menanti lelaki ini selepas pembedahan batu karang sejak seminggu lalu.

“Umi, raya haji ni Ain raya KL je kot,” kataku pada suatu hari ketika umi datang menziarahi Khairil.

“Kenapa pula? Abah nak buat korban tak seronok la kalau Ain tak balik. Yang lain semua balik,” sayu suara umi. Aku tahu betapa dia mengharapkan aku pulang.

“Abang Khairil sakit macam ni takut dia tak larat nak berjalan jauh pulak,”kataku memberi alasan.

“Ala, sakit batu karang ni lepas operation elok la. Balik la, Ain,” umi masih memujukku. Aku hilang kata-kata.

“Tak boleh umi. Nanti la Ain bincang balik dengan abang Khairil ye,” kataku menyedapkan hati umi. Ku lihat umi mengeluh kecil. Tentu umi tak puas hati dengan jawapanku.

“Abang dahaga,”tersentak aku mendengar suara Khairil. Entah bila dia tersedar aku sendiri tidak tahu.

Perlahan kucapai gelas dan air masak di sisi katil.

“Abang nak air teh,”katanya lagi. Banyak songeh plak mamat ni, mujur dia sakit, kalau tak…Perlahan aku bangun mencapai termos di dalam bakul menuangkan air teh untuk Khairil.

“Kenapa tak minum?”tanyaku setelah gelas yang kuhulur hanya diletak di tepi katil.

“Sejuk,”katanya.

Aku meraba gelas di sisi katilnya. Suam. Apa yang tak kena dengan Khairil ni? Marah kat aku ke?

“Ain buat air lain,”aku bangun untuk ke pantry.

“Tak payah. Teman abang. Boring dok sorang-sorang,” katanya sambil membelek majalah MASKULIN.

Kata suruh aku teman, yang pegi belek majalah MASKULIN tu kenapa? Nak buat aku jadi tunggul kat sini? Aku terpandang mak cik di sebelah katil Khairil. Dia pun dah beberapa hari di situ menemani suaminya. Tapi nasib dia baik sebab dapat suami yang tak banyak songeh cam aku. Tetibe mak cik tu senyum kat aku. Aku balas balik. Teringin jugak nak pergi berborak dengan mak cik tu. Aku bangun dari kerusi.

“Nak gi mana? Kan abang suruh teman abang,” Khairil merenung aku tajam.

Aku duduk balik cam orang bodo. Tersenyum mak cik tu melihat telatah aku dan Khairil.

“Abang nak gi tandas,”kata Khairil selepas beberapa detik aku mendiamkan diri macam tunggul kat tepi katil dia. Perlahan-lahan aku papah dia.

“Sakit la. Jangan la cengkam kuat sangat,”katanya. Berkerut-kerut dahinya.

Aku biar tergolek kang baru tau. Aku pegang kuat-kuat supaya dia tak jatuh.

“Boleh ke?”tanyaku.

“Kalau abang kata tak, nak masuk sekali ke?”tanyanya nakal.

Benci betul.
Sambil menunggu aku menuju ke katil mak cik tadi.

“Mak cik sihat?”tanyaku berbasa-basi.

Kalau dia tak sihat mesti dia yang dok kat atas katil hospital tu. Makcik tu mengangguk. Bisu ke?

“Pak cik sakit ape?”tanyaku. Simpati aku melihat pak cik tua yang terbaring lesu di atas katil.

“Kencing manis,”jawab mak cik tu. Ooo,bley cakap rupenye.

“Lama dah pak cik sakit?”tanyaku lagi. Best giler dapat bercakap lepas beberapa lama jadi patung kat tepi katil Khairil tadi.

“Sabar la nak ye,”tetibe je mak cik tu cakap kat aku camni.

“Orang lelaki memang macam tu. Kalau dah sakit, masa tu la nak uji isteri tu taat ke tak. Pak cik ni dah 15 tahun dok ulang alik masuk hospital.Mak cik suruh jaga makan minum dia tak peduli. Buat apa ada bini kalau tak boleh tolong jaga dia kalau dia sakit, kata dia,”mak cik tu tersenyum lagi kat aku.

Sekarang aku faham, mesti dia dok perhatikan aku ngan Khairil selama aku menemankan Khairil di sini. Tetibe aku teringat kata-kata Dato’ Rahim Razali dalam filem CINTA, “Isteri bukannya hak milik,tapi anugerah.” Dalam wad ni cuma Khairil dan pak cik berdua. Wad VIP. Tentu mak cik tu dah lama perhatikan kami.

“Adoi!”tersentak aku mendengar suara Khairil. Terkocoh-kocoh aku ke bilik air.

“Kenapa, bang?”tanyaku cemas. Elok je aku tengok Khairil berdiri kat pintu bilik air.

“Tak de pe. Saje. Gi mana?”tanyanya, Ya Allah!Geramnya aku. Aku mati-mati ingat dia tergolek kat dalam bilik air tu.

“Gi borak ngan mak cik tu,”kataku sambil memapahnya ke katil.

“Kalau abang tak menjerit tadi tercegat je la abang depan pintu bilik air tu,”katanya.

Ntah apa-apa la mamat ni. Panggil je la nama aku. Buat cuak aku jerk.

“Jadi balik tak?”umi menelefon aku petang tu. Lusa dah nak sambut Aidiladha. Khairil macam tak de tanda-tanda nak balik pun.Dah pukul 6 petang pun tak balik lagi.

“Entah la,umi. Abang Khairil pun tak balik lagi,”aku seperti biasa menjadikan Khairil alasan. Memang sebab dia pun aku tak dapat balik kampung.

“Tak pe la. Daging korban umi hantar rumah anak yatim je la.”

Adus!Syahdu betul cara umi cakap. Rasa nak nangis pun ada tapi tak jadi sebab dengar bunyi enjin kereta Khairil. Aku berpamitan dengan umi sebelum meletak gagang.

“Tak siap lagi?Lusa nak raya dah,”tetibe je Khairil bertanya.

Ala,rumah mak ayah dia tu kalau balik hari pun boleh. Bukan jauh sangat. Sekangkang kera je.

“Nak tido sana ke?”tanyaku.

“Yelah.Abis tu nak balik hari?”tanyanya lagi.

Eleh,macam tak pernah buat balik hari. Nyampes. Nak balik kampung!!!!

Esok pagi-pagi lagi aku dah bangun nak siapkan sarapan. Khairil tengah mandi selepas solat Subuh tadi. Tengah aku sedap-sedap potong ayam tetibe ada orang sergah aku.

“Tak siap lagi?Nak balik tak ni?”tanya Khairil.

Adus!Apahal la suami aku ni. Start dari kat hospital lagi dia asyik menengking je. Kalau aku ada lemah jantung dah terduduk aku atas lantai dapur ni.

“Biasa kan balik petang,”kataku. Bukan jauh pun, rungut hatiku.

“Sesekali buat la luar biasa sikit, tak bley?Boring asyik buat cam biasa je,”ujarnya sambil berlalu menuju ke bilik.

Tebiat ke apa?Rungutku.

“Kenapa tukar beg? Beg semalam tu kan dah muat?”kataku setelah melihat beg pakaian yang diletak ke dalam bonet kereta. Lebih besar daripada semalam.

“Saje nak pakai beg baru,”katanya selamba.Geramnya.

Sepanjang perjalanan sesak dengan kenderaan. Semua sibuk nak balik kampung, aku je yang sibuk nak balik ‘bandar’. Huh! Dalam merungut-rungut aku tertidur,bosan.

“Cik kak oi, bangun.”Terkejut aku dibuatnya. Kat mana ni?

“Nak makan tak?Ke puasa raya aji?”perlinya.

“Kata nak balik rumah mak,”aku kehairanan. Apasal berenti R & R Seremban plak ni.

“Balik Segamat la,”katanya meninggalkan aku yang tengah bengong dalam kereta.

Berseri-seri umi menyambut kami pulang. Ramah pulak Khairil melayan umi, abah ngan anak-anak saudara yang lain. Biasanya setakat salam ngan umi ngan abah je. Pastu hilang dok dalam bilik macam anak dara tunggu lelaki masuk meminang. Buang tebiat betul.

“Berapa ekor lembu abah buat korban?”tanya Khairil.

Kopi ‘o’ panas dan pisang goreng terhidang di atas meja. Aku di dapur menggoreng sedikit lagi pisang yang sudah siap dicelup tepung.

“Seekor je…Bang Long cadang nak buat akikah untuk Anas tapi tak jadi,” semangat abah bercerita.

Elleh, Khairil tu tanya je lebih, esok tengah orang dok korban dialah yang dok tengok paling jauh. Busuk la, hanyir la.

“Pukul berapa, bah?” amboi, pandainyer berlakon.

“Pukul 10 macam tu,”abah menjawab.

“Malam ni mama ngan papa sampai kot, katanya nak beraya kat sini.”

Hah?Mama ngan papa pun nak raya sini?Patut la beria balik sini, mak ngan ayah dia pun nak datang sini, kalau tak…hermmm…


Pagi Aidiladha, selepas solat sunat Aidiladha aku menyiapkan sarapan untuk semua dibantu Kak Long, Kak Ngah ngan Achik. Kak Ngah tengah mengandung anak ketiga, Kak Long pula sibuk menyiapkan anak kecilnya yang baru setahun dengan baju melayu biru. Satu keluarga Kak Long serba biru, Kak Ngah pula pilih tema oren. Aku? Tak payah la nak berangan, aku beria nak buat baju melayu warna hitam tapi dia tak nak. Panas la, rimas la. Hari ni pakai la sorang merah sorang biru.

“Eh,kenapa tak pakai baju yang abang gantung tu?” tanya Khairil sebaik masuk ke rumah.

“Baju mana?”tanyaku hairan.

“Ish, meh sini,” Khairil menarik tanganku menuju ke dalam bilik.

“Penat abang iron malam tadi,”Khairil mengunjuk sepasang kurung hitam berkerawang emas siap dengan tudung.

Aku baru perasan yang dia turut memakai baju melayu hitam. Baju melayu merah yang aku iron semalam masih tergantung di pintu almari.

“Pakai cepat,”Khairil meletakkan baju tersebut di atas katil. Dia kemudian bergegas keluar untuk membantu abah dan orang ramai menyembelih lembu.

Di halaman rumah, orang ramai dah mula berkumpul menunggu masa korban dijalankan. Khairil berdiri di sebelah abah dan ayah. Tak macam tahun lepas, tunggu dipanggil baru terhegeh-hegeh datang. Lama aku berdiri di pintu dapur memerhatikan Khairil. Kenapa lain macam sangat suami aku ni?Terpisat-pisat Khairil mengelap peluh dengan lengannya semasa melapah lembu yang telah selamat dikorbankan.

“Dah jadi suami pun nak intai kat balik pintu lagi?”tersentak aku apabila ditegur umi.

Dulu masa keluarga Khairil datang meminang aku mengintai di sebalik langsir pintu bilik. Sejak itu umi selalu mengusik aku. Aku cuma tersenyum pada umi.

“Nah, pergi hantar air untuk orang lelaki yang tengah buat korban tu,”umi menghulur sedulang cawan dan satu jag air kepadaku.

“Penat?”tanyaku. Khairil tersenyum.

“Tak. Seronok. Jauh sikit, nanti busuk baju baru tu,” Khairil mengambil gelas dari tanganku. Aku hilang kata. Khairil ke ni?

Malam tu Khairil sibuk melayan Anas, Anisah, Safiyya dan Umaira. Terkekeh-kekeh mereka ketawa mendengar cerita Khairil. Aku menuju ke bilik, rasa tak sedap badan je, rasa nak tidur. Sebaik masuk ke bilik aku terlihat sebuah kotak biru, cantik beriben putih.

UNTUK AIN
Tertulis di luar kotak tersebut.
Sehelai selendang sutera berwarna krim terlipat kemas di dalam kotak tersebut.
Aku membuka kad yang diselitkan bersama selendang.

Ain,
Terlalu banyak pengorbanan Ain untuk abang. Abang tak tahu nak balas macam mana. Abang suruh Ain duduk rumah Ain ikut. Abang buat macam-macam nak sakitkan hati Ain, nak uji Ain, tapi Ain sikit pun tak pernah mengeluh pada abang. Kalau dalam hati abang tak tahulah…hehe.
Tapi abang sedar Ain buat semua itu kerana Ain seorang isteri yang setia dan taat. Umi, abah beruntung dapat anak macam Ain.
Abang sengaja pilih untuk beraya di sini, abang ajak mama dengan papa sekali sebab hari raya pertama sangat istimewa untuk kita. Abang tunggu Ain wish tapi Ain tak ingat kot. Tak pe la, mungkin Ain rasa semua tu tak de makna kan?
Apa yang abang nak cakap…terima kasih kerana menjadi seorang isteri yang dah banyak berkorban untuk abang…LUV U!
Happy anniversary, sweetheart!
Khairil

Hampir menitis air mataku membaca luahan hati Khairil.

“Apsal nangis?Orang bagi hadiah pun nak nangis?”tetibe je suara Khairil menampar gegendang telinga aku. Cepat-cepat aku lap air mata yang mengalir.

“Ala, orang dah nampak dah dia nangis,” Khairil masih mengusik.

“Sorry, Ain lupa,”kataku. Aku benar-benar lupa. Terlalu sibuk memikirkan sikap Khairil yang agak ganjil kebelakangan ini membuatkan aku terlupa ulangtahun perkahwinan kami.

“Its okey,” Khairil melabuhkan punggung di sisiku.

“Abang saja buat perangai masa kat hospital hari tu ye?”aku menduga.
Khairil tersengeh macam kerang busuk.

“Kenapa?Tak percaya?”Khairil mencuit pipiku. Aku tersenyum bahagia.

Ya Allah!Terima kasih di atas hadiah pengorbanan yang Kau berikan kepadaku…Terima kasih Ya Allah!

Cerpen: Pertemuan

Pertemuan
Intan Zurina

Suasana di gedung membeli-belah itu amat merunsingkan kepala aku. Sudahlah banyak barang yang perlu aku beli, orang pulak tidak putus-putus masuk menambahkan kesesakan di dalam gedung ini. Aku menghabiskan membeli barang-barang di Mydin. Menjelang awal bulan seperti biasa banyak barang yang perlu aku beli. Masih bergelar pelajar dan bujang aku sudah sibuk membeli barangan rumah inikan pula kalau berumahtangga kelak. Aku tersenyum sendiri, sempat pulak mengelamun dalam keadaan yang sibuk dan sesak dengan orang yang ramai. Aku berhati-hati dengan keadaan yang sebegitu kerana kecurian sering berlaku di sini. Seorang mak cik pernah menceritakan pada aku bagaimana dia tidak sedar kehilangan telefon bimbitnya dalam keadaan yang benar-benar sesak dan dia sedar. Setelah penat beratur panjang dan selesai membayar di kaunter aku berlalu keluar dengan segera. Cuaca yang panas terik membuatkan tekak aku terasa kering dan perit. Mujur ada pemuda yang sedang menjual minuman di hadapan Mydin. Tanpa berlengah aku menghampiri lelaki tersebut yang sedang sibuk melayan beberapa pelanggan yang mungkin kehausan seperti aku.

“Air jagung satu bang,” pintaku sambil tersenyum pada lelaki tersebut.

Laju sahaja mulutku memanggilnya abang padahal wajahnya kelihatan hampir sebaya denganku. Aku memerhatikan tangannya yang lincah menuang air jagung ke dalam cawan plastik. Dalam hati aku tertanya mengapa dia menguruskan perniagaan itu seorang diri. Tiadakah sesiapa rakan atau saudara mara yang sudi membantunya? Seketika aku terpandang beberapa parut pada bahagian pelipat lengannya. Kemudian mataku meyorot pada tubuhnya yang agak kurus dan wajahnya yang cengkung.

“Seringgit,” katanya sambil menghulurkan secawan air jagung padaku.

Aku yang pada ketika itu sedang leka memerhatikannya tersentak mendengar suaranya dan matanya yang agak cengkung merenungku. Seketika aku berasa malu dengan tindakanku sebentar tadi.

“Maisarah, cepat la,” aku berpaling dan berlalu setelah mendengar namaku dipanggil oleh Raihan, rakan serumahku.

Aku menghampiri Raihan dan tersenyum namun aku berpaling semula ke belakang setelah Raihan menunjukkan sesuatu padaku. Lelaki tadi masih memerhatikan aku. Sejenak kami berpandangan namun aku segera menarik tangan Raihan ke dalam kereta Satria Neo pemberian ayah untukku.

“Kau kenal ke lelaki tadi tu?”Raihan bertanya setelah kami sampai ke rumah dan sedang berbaring di dalam bilik menghilangkan lelah berjalan seharian membeli barang.

Selepas ke Mydin kami ke Astaka membeli beberapa lagi barang keperluan dan kemudian aku menemani Raihan ke Pasar Payang untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang semasa cuti pertengahan semester nanti. Aku tidak membeli apa-apa kerana aku bercadang untuk tidak pulang ke kampung. Mengenangkan ibu dan ayah yang tinggal jauh,aku lebih suka tinggal di rumah sewa berbanding pulang ke rumah saudara-mara yang lain.

“Oi, termenung pulak. Kau dengar tak aku tanya tadi?”Raihan menyiku lenganku dan mengulangi soalannya tadi.

Bukan aku tidak mendengar cuma aku kembali teringatkan pemuda yang menjual minuman di Mydin tadi setelah Raihan bertanya padaku tentangnya.

“Tak kenal. Kenapa?”tanyaku kembali.

“Aku tengok dia macam kenal kau je. Macam ada sesuatu yang dia nak tahu dari kau,”Raihan memberikan pendapatnya. Aku berfikir sejenak.

Adakah pandangan aku pada lelaki itu membuatkan dia berfikir sesuatu?

“Tak ada la…Pandai-pandai je kau ni,”aku bingkas bangun untuk mengambil wudhuk menunaikan solat Zuhur yang sudah hampir sampai ke penghujung waktu. Raihan merenung aku dengan pelbagai tanda tanya.

Minggu seterusnya aku ke Kuala Terengganu lagi tetap kali ini aku keseorangan kerana ingin membeli barangan yang diperlukan untuk menjalankan jualan di gerai yang ditubuhkan oleh kelab Biodiversiti sempena pesta Konvokesyen. Ramai yang ingin menemani namun aku menolak, bukan tidak sudi namun lebih mudah membeli barang-barang sendiri daripada keluar beramai-ramai. Macam-macam karenahnya nanti.Sedang sibuk aku meneliti senarai barangan yang hendak aku beli, aku terpandangkan beberapa cawan plastik yang tinggal di satu sudut kedai tersebut. Aku berlalu untuk mendapatkannya sebelum ada orang lain yang terlebih dahulu membelinya. Lagipun aku sudah malas hendak ke kedai lain setelah dua buah kedai aku pergi namun barangan yang aku cari masih belum aku temui.

“Sorry,”aku tersentak ketika seorang lelaki turut ingin mengambil bungkusan cawan tersebut.

Seketika kami berpandangan kemudian aku melarikan pandangan. Lelaki di hadapanku adalah lelaki yang sama ketika di gerai air dahulu.

“Tak berniaga ke hari ni?”aku meramahkan diri setelah aku melihat dia mula untuk berlalu pergi dari situ.

Lelaki itu menghentikan langkahnya sejenak sebelum menghayun langkah untuk terus pergi tanpa menjawab pertanyaanku tadi.Aku mengekorinya sehingga keluar kedai. Tidak jadi aku membeli cawan plastik tadi. Hati aku ingin tahu apa yang membuatkan lelaki itu ingin cepat pergi setelah melihat aku. Pernahkah aku melakukan apa-apa yang menyakiti hatinya?

“Nanti,saudara,”aku cuba menghalang. Cubaan aku berhasil apabila lelaki itu berpaling.

“Awak nak nak apa?”pertama kali aku mendengar suara lelaki itu pada pertemuan hari itu setelah aku mendengar suaranya semasa aku membeli air di gerainya dahulu.

“Boleh kita bercakap sekejap?”aku memberanikan diri. Hatiku benar-benar ingin tahu.

“Nak buat apa?Tak cukup ke awak pandang saya dengan riak muka yang menjijikkan tu?Saya sedar siapa saya,”lelaki itu tiba-tiba bersuara penuh emosi.

Aku terpana sejenak. Tidak pernah terlintas di hati aku untuk memandangnya seperti apa yang dikatakan lelaki itu tadi.

“Saya tak faham,”dahiku berkerut seribu. Lelaki itu mengeluh panjang.

“Pandangan awak pada saya hari tu membuatkan saya rasa diri saya ni jijik sangat. Saya sedar diri saya seorang bekas penagih, tapi orang macam awak yang buat saya rasa berat hati untuk meneruskan kehidupan saya,”lelaki itu diam sejenak.

Terjawab segala teka-teki yang bermain di fikiranku. Namun, tidak sedikit pun terlintas padaku untuk aku membencinya. Aku tahu lelaki ini perlukan sokongan dan bimbingan dari orang yang terdekat.

“Saudara,”aku menahan sebelum lelaki itu melintas jalan.

“Apa lagi?”lelaki tadi masih meninggikan suara. Aku cuba berlagak tenang.

“Saya rasa saudara dah salah faham,”kataku kemudian. Pemuda itu hanya berdiam diri.

“Sudahlah,saya dah bosan jumpa orang macam awak,”lelaki itu terus berlalu dengan prasangkanya.

“Saudara,saya boleh bantu kalau saudara sudi,”aku melaung, tidak pasti sama ada lelaki itu mendengar atau tidak.

Tiba-tiba aku teringat pada sepupuku seorang pensyarah Al-Quran dan Sunnah yang bekerja di UIA. Kadang- kadang sepupuku itu bertugas sebagai sukarelawan memberi ceramah di pusat serenti dan rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia. Launganku tidak diendahkan.Aku kembali ke kedai untuk mengambil semua barangan yang telah aku beli sebentar tadi. Terkejut aku melihat tiga plastik besar barang-barang yang telah kubeli. Menyesal pula menolak pelawaan Raihan untuk turut sekali tadi.

“Tokey,boleh tolong hantar barang-barang saya ni ke kereta?”aku memberanikan diri bertanya pada seorang lelaki cina yang kelihatan seperti tuan punya kedai.

Takkan tak boleh bantu sedangkan aku telah berbelanja banyak di kedainya. Lelaki cina itu memandang ke dalam kedai memanggil seorang pekerjanya.

“Tak pe,biar saya bawa.”

Aku sedikit tersentak dengan suara seseorang yang menegurku. Lelaki tadi tersenyum memandangku sambil di tangannya sudah ada dua beg plastik barangan yang aku beli. Entah bila dia berpatah balik aku sendiri tidak sedar.

“Kenapa?Tak boleh?Sebelum awak tolong saya apa salahnya saya tolong awak dulu,”lelaki itu terus bersuara setelah melihat tiada respon dariku.

Seketika kemudian aku tersenyum dan membawanya sehingga ke kereta. Sempat aku menjeling ke gerainya yang kosong hari itu.

“Saudara…,”kata-kataku dipintas sebelum sempat kuhabiskan.

“Ikmal,panggil saya Ikmal,”lelaki itu tersenyum.

Dapat kulihat seraut wajahnya yang tersenyum seolah-olah menuntut janjiku untuk membantunya tadi. Mungkin kerana itu dia berpatah semula ke kedai kami bertemu tadi.

“Oo…Saya Maisarah,”aku membalas senyumannya.

“Tak berniaga ke hari ni?”tanyaku semasa kami memasukkan barangan ke dalam bonet kereta. Ruang yang agak sempit menyebabkan barang-barang perlu disusun dengan betul.

“Tak,hari ni setiap awal bulan saya memang tak berniaga. Keluar beli barang-barang yang dah habis untuk mulakan perniagaan esok,”ceritanya panjang. Aku menyisip air oren yang telah kutempah tadi bagi membasahkan tekak.

“Mai buat apa beli barang banyak-banyak macam tu?Ada bisnes juga ke?Bukan ke Mai seorang student?”bertalu-talu pertanyaan diajukan kepadaku sehingga aku seperti ingin ketawa mengenangkan sikapnya.

Baru tadi dia memarahi aku dan sekarang ramah pula dia berbual denganku.

“Memang Mai belajar lagi tapi minggu depan kolej Mai ada buat pesta sempena konvokesyen.Jadi kami satu kelas bercadang nak buka gerai jual minuman,”ceritaku serba sedikit.Ikmal mengangguk.

“Dulu Ikmal pun bercita-cita nak pergi sampai ke universiti tapi…,”Ikmal hanya tersenyum membuatkan aku ternanti-nanti kata-katanya.

“Tapi,kenapa?’tanyaku tidak sabar.

“Betul cakap ustaz dulu, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan segala-galanya.Akibat tersilap langkah dan terlalu mengikut perasaan saya terjebak dengan najis dadah,”Ikmal berjeda seketika. Ada sendu di matanya.Mungkin terkenangkan peristiwa hitam yang pernah dialaminya.

“Err...Kalau tak keberatan.boleh Mai tahu tentang Ikmal sebelum ni?”tanyaku takut-takut. Kami baru berkenalan, mungkin Ikmal belum bersedia menceritakan semua kisah hidupnya padaku.

“Ikmal sekolah agama dulu…Lepas SPM je Ikmal keluar nak cari kerja sementara tunggu keputusan…,”Ikmal diam sejenak. Aku setia menanti.

“Ikmal kerja di pasar malam, tolong pak cik berniaga. Dari situ Ikmal kenal ramai orang. Macam-macam perangai. Sampailah satu hari Ikmal mula belajar merokok. Ikmal lupa pada janji Ikmal pada arwah ayah untuk tidak merokok. Semuanya kerana ayah mati sebab kanser paru-paru disebabkan terlalu banyak merokok,”Ikmal tersenyum tawar.

Aku hanya melihat wajah tenang yang sengaja dibuat-buat oleh Ikmal. Aku tahu hatinya sayu.

“Tak cukup dengan merokok,Ikmal hisap ganja. Duit kerja Ikmal habis ke benda-benda tak berguna tu je. Ibu meninggal pun sebab Ikmal. Ibu terkejut bila polis datang ke rumah cari Ikmal. Bila polis cakap Ikmal menagih dadah terus ibu rebah. Masa tu ibu pergi selama-lamanya. Ikmal tak sempat mohon maaf dari ibu.Ikmal berdosa,”kali ini air jernih mula bergenang di tubir mata lelaki yang baru kukenali itu.

Betapa lama dia mencari seseorang untuk bercerita dan meluahkan kekesalan yang terbuku di hatinya namun tiada siapakah yang sudi mendengar?

“Saudara mara Ikmal dah tiada ke?”aku bertanya.

Sejak awal pertemuan di gerai air tempoh hari aku terdetik untuk bertanya tentang saudara mara lelaki itu. Ikmal masih cuba tersenyum.

“Ikmal hanya ada kakak. Dia dah pergi bersama suaminya. Marah betul dia pada Ikmal. Katanya sebab Ikmal ibu meninggal. Harta yang ayah waris pada Ikmal pun dia ambil. Katanya Ikmal tak layak. Ikmal tak nak pun semua harta tu. Ikmal cuma nak dia faham Ikmal yang Ikmal bukan sengaja pilih jalan ni,”Ikmal memandang ke jalanraya dengan pandangan yang kosong. Aku hanya berdiam diri. Dalam hatiku nekad ingin membantunya.

“Kawan-kawan?”tanyaku pendek.

“Kawan, Mai…Masa senang dia ada la, bila kita susah, dah kena buang dengan keluarga sendiri, dia pun hilang.Masa Ikmal kena tangkap dulu seorang pun tak datang jenguk. Ikmal pun pelik kenapa Ikmal seorang je yang kena,”adunya.

“Mungkin Tuhan sayangkan Ikmal. Kalau tidak mungkin Ikmal tak berubah sampai sekarang atau mungkin lagi teruk,”kataku menyedapkan hatinya.

“Tapi Tuhan dah ambik ibu Ikmal,”air matanya semakin deras mengalir. Sayu hatiku melihat.

“Ikmal,ajal maut di tangan Tuhan. Tuhan dah atur hidup kita cukup cantik Ikmal. Kadang-kadang dia tak bagi apa yang kita nak kerana Dia dah ada yang lebih baik untuk kita. Dia ambil orang yang kita sayang sebab Allah nak duga kita. Allah dah janji tidak akan lengkap seseorang muslim itu jika dia tidak diuji dengan dugaan setelah dia mengucap dua kalimah syahadah. Mai yakin Ikmal tahu tentang itu sebab Ikmal sendiri dari sekolah agama,”aku bersyarah panjang. Aku mengutip kembali segala ilmu yang aku belajar ketika di sekolah dahulu.

Lama Ikmal terdiam. Mungkin memikirkan kata-kataku tadi. Lama jugak kami berdua hanya berdiam diri. Mungkin Ikmal sudah sedikit lega sekarang.

“Tadi Mai cakap Mai boleh bantu Ikmal. Macam mana?”Ikmal bersuara menuntut aku menunaikan kata-kataku ketika di kedai tadi. Aku tersenyum.

Gerai nombor 43 semakin sibuk menjelang tengah hari apabila semakin ramai orang yang datang.Aku sudah tidak menang tangan. Mujur ada beberapa lagi yang turut membantu. Walaupun sudah diberi tugasan mengikut jadual namun aku harus berada di situ sepanjang masa kerana aku antara ahli jawatankuasa tertinggi yang diamanahkan menjaga gerai tersebut.

“Assalamualaikum,”sapa seorang lelaki. Aku berpaling kemudian tersenyum.

“Wa’alaikumussalam,”jawabku.

“Sibuk sangat ke?”tanyanya.

Malu pula aku apabila Ikmal datang melihat keadaanku yang agak tidak terurus. Apron yang aku pakai agak comot dengan warna-warna air yang dijual. Melayan orang yang ramai kadang-kadang tak sedar air tertumpah ke baju.

“Sibuk la juga,”aku meminta Anita menggantikan tempatku sementara aku berjalan dengan Ikmal di tapak pesta.

“Banyak juga gerai kat sini,”Ikmal memandang sekeliling.

“Awak dah makan ke?”tanyaku. Dari tadi perutku berbunyi minta diisi. Pagi tadi aku hanya bersarapan sekeping roti.

“Dah.Mai tak makan lagi ke?”Ikmal pula bertanya.

Aku hanya menggeleng. Aku hanya menurut langkah Ikmal ke sebuah gerai yang menjual goreng pisang dan beberapa makanan lain. Aku hanya melihat Ikmal membeli goreng pisang dan keropok lekor. Mungkin untuk dibawa pulang ke rumah.

“Nah, makanlah!”terkejut aku apabila Ikmal menghulurkan makanan itu kepadaku.

“Ambillah.Saya ikhlas,”dia tersenyum. Tidak sampai hati menolak lagipun perutku sedang lapar, aku menyambut makanan tersebut.

“Terima kasih,”ujarku.

“Kita duduk sana la,”Ikmal berjalan ke arah sebuah pondok berhampiran perpustakaan. Aku hanya menurut tanpa banyak kata.

“Lapar sangat ke?”Ikmal bertanya setelah lama aku makan tanpa berkata apa-apa. Terasa darah menyerbu ke muka tika itu.

“Sibuk sangat jaga gerai sampai makan pun tak. Baru sehari, kalau hari-hari macam saya macam manalah agaknya,”sinis suara Ikmal. Namun aku tak ambil hati.

“Bila sepupu Mai tu nak datang?”tanya Ikmal. Aku sudah habis makan semua makanan yang dibelinya untukku.

“Erm…Minggu ni. Kebetulan dia ada motivation talk kat Darul Hilmi, rumah anak yatim kat Teluk Ketapang tu,”aku bercerita tentang perbualanku dengan Iqbal tempoh hari.

“Tak sangka ada juga orang yang sudi tolong saya. Lepas keluar dari pusat serenti dulu, saya betul-betul menyesal tapi saya sedih sebab tak ada sesiapa yang sudi tolong saya untuk teruskan sisa-sisa hidup saya ni. Saya belajar sendiri. Segala ilmu yang saya belajar di sekolah dulu saya cuba ingat balik. Apa yang paling saya kesalkan, semua surah yang saya hafal dulu saya dah tak ingat.Saya berdosa sangat,”Ikmal mengeluh panjang. Benar-benar dia insaf akan khilafnya yang lalu.

“Semua tu dugaan Ikmal.Bersabar je la,”aku meyakinkan.

“Saya nak bagitahu Mai. Saya baru beli handset semalam. Alhamdulillah ada rezeki lebih. Senang nak contact Mai nanti,”ceria wajah Ikmal menunjukkan telefon bimbit yang baru dibelinya. Aku tersenyum.

“Senang la Ikmal nak tanya apa-apa pada Mai. Ikmal ni macam dah jahil sangat,”Ikmal menundukkan wajahnya.

“Saya ni bukannya pandai sangat Ikmal. Apa yang saya belajar dulu tu bolehlah saya nak bantu Ikmal,”aku merendah diri.

Aku bukan seperti muslimah yang lain. Yang bertudung labuh dan lengkap menutup aurat. Aku sekadar menutup yang wajib sahaja. Namun aku amat berharap untuk menjadi seperti mereka suati hari nanti andai hidayah Allah datang kepadaku.

“Ok la.Saya balik dulu. Gembira dapat jumpa Mai. Rasa tenang pulak. Mai je yang sudi dengar masalah saya,”Ikmal berkata-kata.

Aku dapat melihat keikhlasan dari senyuman Ikmal. Aku cuma tersenyum.

“Lelaki yang kat gerai air hari tu kan?”Raihan bertanya setelah aku kembali ke gerai. Ketika itu orang ramai mula berkurangan. Mungkin hari sudah agak petang dan cuaca agak panas.

“A’ah.Ko ingat lagi ke?”tanyaku sekadar berbasa-basi. Raihan mengangguk.

“Macam mana ko boleh rapat dengan dia. Lain macam je aku tengok dia. Macam mat drug je…Cam lalok je,”lantang mulut Raihan berbicara. Kalau Ikmal ada bersama tentu dia akan berkecil hati.

“Panjang ceritanya, Rai. Ko jangan serkap jarang. Nanti aku ceritakan hal yang sebenar di rumah,”aku berlalu ke perpustakaan untuk menunaikan solat Zuhur di surau.

Iqbal tersenyum di sisi kereta Honda Civicnya berwarna hitam. Mujur dia tidak menarik muka kerana aku agak lewat tiba di kampus. Sengaja aku berjanji untuk berjumpa di kampus, kalau ke rumah nanti apa pula kata orang sekeliling. Sudahlah Iqbal tu masih teruna dan hanya 7 tahun lebih tua dariku. Namun kerana ilmu agamanya yang luas aku sangat menghormatinya.

“Lame ke tunggu?”sapaku sebaik sahaja berada di hadapannya.

“Tak de la…Ada la dalam satu jam,”ujarnya yang kemudian ketawa. Segak penampilan Iqbal petang itu berbaju kemeja biru kehijauan yang agak lembut dengan seluar slack hitam.

“Ni pakai smart-smart ni nak mengorat budak KUSTEM ke?”aku menduganya. Berderai ketawa Iqbal.

“Mana ada. Abang datang terus dari Darul Hilmi sebab dah janji dengan Mai tau. Elok je habis talk terus abang datang. Makan pun belum lagi,”Iqbal bersungguh-sungguh bercerita. Aku hanya mencebikkan bibir.

“Abis tu nak suruh orang belanja la ni?”aku sekadar bergurau.

“Bole jugak,”Iqbal menyambut gurauanku dengan senyuman yang nakal.

“Jangan harap. Orang yang dah kerja la kena belanja,”aku memprotes.

“Ye la. Naik kereta abang nanti abang hantar balik ke sini. Kalau Mai bawak kereta sendiri karang mesti tertinggal jauh.”

Aku sudah menarik muka berpura-pura berjauh hati. Iqbal sekadar tersenyum kerana tahu rajukku tak lama.

“Siapa orang yang Mai cakap nak bawak jumpa dengan abang tu?Bakal suami ke?”Iqbal sempat bergurau dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

“Mana ada.Pandai-pandai je,”aku mencuit lengan Iqbal. Hubungan kami seperti adik-beradik semenjak Iqbal tinggal di rumahku selepas habis bersekolah kerana bekerja sebagai guru sandaran yang ayahku tawarkan padanya.

“Eh, tak betul ke? Mana la tau Mai dalam diam-diam dah ada ‘abe’,”Iqbal berjenaka. Aku tidak membalas kerana sedang menunggu Ikmal menjawab panggilanku.

“Assalamualaikum,”sapaku sebaik terdengar talian disambut.

“Wa’alaikumussalam.”

“Ikmal, awak sibuk tak hari ni? Meniaga ke?”tanyaku ingin tahu.

Jika Ikmal tidak sibuk aku ingin mengajaknya keluar makan bersama Iqbal. Boleh jugak Iqbal berbual dan mengenali Ikmal sebelum membimbingnya.

“Saya baru nak tutup gerai.Kenapa Mai?”Ikmal bertanya. Senang hatiku mendengar kata-katanya.

“Sepupu saya yang saya cakapkan hari tu dah sampai, kalau boleh nak ajak Ikmal keluar makan sama-sama. Boleh kenal-kenal dulu,”aku menyatakan tujuanku. Iqbal di sebelah sempat tersenyum-senyum mengejek. Malas aku melayan karenahnya.

“Erm…Boleh jugak,”Ikmal bersetuju setelah lama berdiam diri. Mungkin segan untuk turut serta bersama kami.

“Kalau macam tu, Ikmal tunggu kami di gerai. Kami datang jemput Ikmal,”aku menyatakan cadanganku.

Pandai-pandai je aku padahal Iqbal yang memandu kereta. Siapa suruh tumpangkan aku. Aku ketawa dalam hati.

“Err…Kalau saya tunggu depan Masjid Putih boleh? Saya belum solat Asar lagi,”ujarnya lambat-lambat. Aku hanya mengiyakan sebelum memutuskan talian.

“Bertuahnya dapat lelaki baik macam tu. Jaga solat. Untung Mai,”Iqbal masih tidak habis-habis menyindir setelah aku menyatakan yanag Ikmal menunggu di Masjid Putih kerana mahu bersolat Asar.

“Abang ni tak habis-habis tau. Sikit-sikit dah la,”ujarku bengang. Iqbal ketawa melihat wajahku yang masam mencuka.

“Macam jeruk kelubi,”Iqbal menyambung tawanya.

Tiba di Masjid Putih aku ternampak kelibat seorang lelaki sedang menunggu. Ikmal! Detik hatiku.

“Dah lama tunggu?”aku bertanya setelah keluar dari kereta. Iqbal masih di dalam.

“Eh, tak perasan Mai tadi. Ingatkan siapa, kereta lain,”Ikmal tersenyum.

“Kereta sepupu Mai,”aku menjawab ringkas.

“Ikmal!”tiba-tiba Iqbal meluru kepada Ikmal yang tersentak mendengar namanya dipanggil. Aku turut terkesima. Bila pula mereka berkenalan?

“Dah lama ke kau berniaga di situ?”Iqbal bertanya.

Aku yang duduk di sebelah Iqbal lebih banyak mendiamkan diri membiarkan kedua-dua sahabat ini melepaskan rindu masing-masing. Melalui perbualan mereka aku baru mendapat tahu yang Iqbal dan Ikmal adalah rakan dari satu sekolah yang sama. Mereka berkawan rapat namun terputus hubungan setelah Iqbal melanjutkan pelajaran ke Mesir.

“Lama juga.Elok lepas aku keluar dari pusat serenti,”Ikmal menjawab tenang. Air wajahnya tampak riang bertemu dengan Iqbal.

“Aku selalu juga pergi buat ceramah dekat pusat-pusat serenti ni, tapi tak perasan pun kau. Kau duduk di pusat serenti mana dulu?”Iqbal bertanya. Pertanyaannya lama dibiarkan menyepi.

“Ikmal,”Iqbal memanggil setelah lama Ikmal berdiam diri.

“Ha? Err…Sebenarnya aku selalu hadiri ceramah yang kau bagi. Tak silap aku sepanjang aku berada di sana, dua kali kau datang bagi ceramah. Tapi…aku malu. Aku malu nak tegur kau. Aku dah jadi sampah, Iqbal,”lirih kedengaran suara Ikmal. Dia menundukkan pandangan. Aku terpana sejenak.

“Kenapa kau cakap macam tu? Kau dah lupa pesan Ustaz Shahir dulu? Allah sentiasa membuka pintu taubat terhadap hamba-hambanya yang ingin bertaubat dan meninggalkan perbuatan yang tidak baik yang mereka lakukan.Kau masih ada peluang Ikmal,”Iqbal berbicara panjang.

Sesuai dengan dirinya seorang pensyarah agama dan motivator, setiap tutur katanya menyejukkan hati sesiapa yang mendengarnya. Melihat wajahnya sahaja hati boleh menjadi senang setenang raut wajahnya yang bersih.

“Aku tahu tapi…,”Ikmal mematikan kata-katanya.

“Lepas ni kau ikut aku balik Kuala Lumpur nak?”tiba-tiba Iqbal mengusulkan cadangan yang tidak pernah aku duga. Ikmal tersentak.

“Buat apa? Tak perlulah, Iqbal. Aku dah lali hidup macam ni. Aku tak nak menyusahkan orang dah,”Ikmal menolak pelawaan Iqbal.

“Maisarah kata kau nak suruh aku bimbing kau kan? Kalau di sana aku boleh bawa kau sama-sama mendengar ceramah. Kalau aku ke mana-mana pun boleh kau tolong aku sebagai pembantu aku. Susah jugak aku seorang diri menguruskan motivasi di banyak tempat,”Iqbal berusaha memujuk. Kesungguhannya terserlah. Dalam diam aku bersetuju. Mereka pun sudah lama berkawan, apa salahnya jika Ikmal bersetuju.

“Jom la, Ikmal,”Iqbal masih mengharap.

“Aku tak nak susahkan kau, Iqbal,”Ikmal menyatakan alasan.

“Ikmal, kat sana nanti aku tolong kau dapatkan tender untuk kantin UIA. Kebetulan ada kantin baru yang dibuka di sana. Aku berharap sangat ni, Ikmal,”Iqbal semakin bersemangat. Aku membiarkan Ikmal membuat keputusan sendiri.

“Baiklah.Tapi sewa rumah bahagi dua k?”Ikmal tersenyum. Iqbal tertawa.

“Kau tak payah risau la tentang tu semua. Pandai la aku uruskan,”Iqbal menepuk bahu Ikmal.

Aku tersenyum lega namun jauh di sudut hatiku tiba-tiba berasa sedih. Pemergian Ikmal bersama Iqbal akan membuatkan aku sedikit sunyi selepas ini. Jika tidak selalu juga aku dan Ikmal berbual bersama-sama sesekali aku keluar ke Bandar. Raihan pun senang dengan Ikmal. Katanya, dari perwatakan Ikmal dia tahu Ikmal bukan sengaja memilih jalan hidup yang begitu.

6 bulan berlalu…

Aku masih berhubung dengan Ikmal. Alhamdulillah dia semakin gembira di sana. Katanya dia seperti dilahirkan semula setelah ramai rakan-rakan Iqbal di sana menerimanya dengan baik. Sedikitpun tidak pernah menyisihkannya yang merupakan seorang penagih dadah. Hidupnya kini lebih ceria. Minggu depan Iqbal akan ke Kuala Terengganu lagi, Ikmal akan ikut serta. Tidak sabar aku menantikan kehadiran mereka, ingin melihat perubahan Ikmal dan mendengar cerita-cerita yang menarik dari mereka berdua.

“Lama ke tunggu,”Iqbal menyapaku yang sedang duduk di foyer luar perpustakaan. Aku tersenyum sambil tercari-cari kelibat Ikmal. Rindu benar nak berjumpa dengan sahabat itu.

“Tak lah…Ada la dalam satu jam,”Aku memulangkan paku buah keras pada Iqbal namun senyumku mati apabila melihat wajah Iqbal yang serius dan hanya tersenyum tawar. Mungkin penat memandu semalaman.

“Kata nak datang hari Ahad. Hari Jumaat dah sampai?,”ujarku setelah Iqbal mengambil tempat duduk di hadapanku. Iqbal cuma tersenyum tawar seperti tadi.

“Ikmal mana?”tanyaku setelah dari tadi tidak melihat kelibatnya.

“Err…Mai.Ikut abang,”Iqbal bersuara perlahan. Aku terdiam. Seperti ada sesuatu yang berlaku.

“Ke mana?”tanyaku.

Iqbal tidak menjawab tetapi terus bingkas menuju ke kereta. Aku juga tidak banyak tanya terus masuk ke dalam kereta. Hatiku jadi tidak sedap setelah Ikmal tiada di situ.

Sampai sahaja di Surau Seberang Takir aku lihat ramai orang yang bersongkok dan kopiah. Yang wanita bertudung dan berbaju kurung. Aku semakin tidak sedap hati.

“Bang, kenapa ni bang?”tanyaku ingin tahu.

“Abang datang ke sini awal dua hari sebab abang pulang dengan jenazah Ikmal,”lirih suara Iqbal.

Bagai halilintar yang berdentum di langit sebaik aku mendengar berita tersebut. Baru dua hari lepas aku menghubunginya. Tidak banyak yang berubah dalam kata-katanya. Dia cukup ceria berbual denganku. Sesekali dia menyatakan yang dia amat bersyukur akan pertemuanku dengannya yang membawanya ke jalan yang lurus dan mengenali dirinya yang dulu.

“Mai.”

Iqbal memegang bahuku. Tatkala itu pandanganku sudah kelam dan hampir pitam namun pegangan Iqbal menguatkan semangatku. Mataku semakin kabur dengan air mata yang bergenang. Iqbal memimpin aku perlahan ke dalam surau. Di tengah surau kulihat sekujur jasad terbujur kaku siap dikafankan menunggu masa bertemu Munkar dan Nakir di alam barzakh. Aku menguatkan semangatku menatap wajahnya. Tenang. Bersih sesuci hatinya. Al-Fatihah.

“Ikmal menghidap HIV dah lama. Dia beritahu abang pun lepas dah lama abang tinggal dengan dia.Makin lama dia makin teruk tapi dia pesan pada abang jangan bagitahu Mai. Dia tak nak Mai risau,”Iqbal bercerita dalam pulang dari tanah perkuburan. Aku berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang beriman.

“Malam Rabu lepas, selepas Mai telefon dia tiba-tiba keadaannya semakin tenat. Abang ada di sisi dia masa Mai telefon tu. Masa tu dah seminggu Ikmal berada di hospital. Virus tu terus membunuhnya, Mai”Iqbal menahan sebak mengenangkan detik-detik akhir Ikmal bersamanya.

Fikiranku melayang. Terbayang wajah Ikmal yang penuh dengan bintik-bintik merah angkara virus durjana itu. Namun wajahnya tampak tenang dan bercahaya seolah-olah bersedia untuk menemui Rabbnya.

“Dia tinggalkan pesan buat Mai,”aku menyambut kertas yang dihulurkan oleh Iqbal.

“Mai baca la dulu.Abang tunggu kat kereta.”


Assalamualaikum,
Mai sihat ke? Sebelum Ikmal terus menulis Ikmal nak minta maaf kalau Mai tak senang dengan Ikmal sebab sembunyikan perkara sebesar ni dari Mai.
Semenjak pertemuan dekat gerai air hari tu Ikmal rasa sesuatu dalam diri Ikmal. Ikmal cuba buang jauh-jauh perasaan tak senang tu tapi Ikmal dapat petunjuk pada satu malam bila Ikmal mimpi satu cahaya terang datang pada Ikmal. Dalam sinaran cahaya tu Ikmal nampak Mai.Tersenyum pada Ikmal. Sebab tu masa pertemuan kedua di kedai tempoh hari, Ikmal cuba jauh dari Mai. Tapi bila Mai cakap Mai boleh bantu Ikmal, hati Ikmal terdetik dan teringat mimpi malam tu. Sebab tu Ikmal yakin dengan Mai. Pertemuan demi pertemuan hingga membawa Ikmal bertemu dengan kawan lama Ikmal, Iqbal. Semuanya kerana Mai. Ikmal benar-benar bersyukur. Namun kadang-kadang hati Ikmal terdetik alangkah baiknya kalau Ikmal bertemu dengan Mai sebelum semua kisah hitam itu berlaku. Tentu Mai boleh bimbing Ikmal ke jalan yang diredhai. Disebabkan pertemuan dengan Mai, Ikmal dapat rasakan ada insan yang masih ambil berat tentang Ikmal dan tak sisihkan Ikmal. Terima kasih, Mai.

Mai, Ikmal sedang menunggu masa menghabiskan sisa-sisa hidup Ikmal yamg dah tak berapa lama lagi ni. Bila-bila je Ikmal boleh pergi, entah esok, entah lusa. Entah-entah masa Mai baca surat ni kot Ikmal dah tak ada. Tapi Ikmal minta Mai maafkan Ikmal dan doakan Ikmal sejahtera di sisi Allah ye.
Akhir kalam, pesan Ikmal pada Mai jaga diri Mai baik-baik. Semoga Mai menjadi wanita solehah, hiasan yang paling indah di dunia ini dan bakal menjadi penyeri di syurga Al-Jannah kelak. Ikmal bersyukur atas sebuah pertemuan yang Allah aturkan ini. Betul kata Mai, Allah dah aturkan hidup kita cukup cantik dan teratur, hanya kita perlu berfikir hikmah di sebalik semua yang berlaku. Allah ambil sesuatu yang kita sayang kerana Dia ada sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dia ambil ibu Ikmal tapi dia temukan Ikmal dengan Mai. Ikmal benar-benar bersyukur dan harap Mai tak lupakan Ikmal.
Salam ukhwah dari seorang sahabat.

Air mataku menitis membasahi warkah yang berwarna putih itu. Tatapanku tidak berganjak dari warkah itu sehingga Iqbal menyentuh bahuku dan mengajakku pulang.

“Yang pergi tu biarkan pergi. Kita yang masih hidup harus meneruskan hidup kita yang entah bila akan berakhir,”kata-lata Iqbal itu memujuk hatiku. Aku berpaling ke tanah perkuburan yang masih merah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

 
Copyright 2009 My Karya. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase