Thursday, February 1, 2007

Cerpen: Pertemuan

Pertemuan
Intan Zurina

Suasana di gedung membeli-belah itu amat merunsingkan kepala aku. Sudahlah banyak barang yang perlu aku beli, orang pulak tidak putus-putus masuk menambahkan kesesakan di dalam gedung ini. Aku menghabiskan membeli barang-barang di Mydin. Menjelang awal bulan seperti biasa banyak barang yang perlu aku beli. Masih bergelar pelajar dan bujang aku sudah sibuk membeli barangan rumah inikan pula kalau berumahtangga kelak. Aku tersenyum sendiri, sempat pulak mengelamun dalam keadaan yang sibuk dan sesak dengan orang yang ramai. Aku berhati-hati dengan keadaan yang sebegitu kerana kecurian sering berlaku di sini. Seorang mak cik pernah menceritakan pada aku bagaimana dia tidak sedar kehilangan telefon bimbitnya dalam keadaan yang benar-benar sesak dan dia sedar. Setelah penat beratur panjang dan selesai membayar di kaunter aku berlalu keluar dengan segera. Cuaca yang panas terik membuatkan tekak aku terasa kering dan perit. Mujur ada pemuda yang sedang menjual minuman di hadapan Mydin. Tanpa berlengah aku menghampiri lelaki tersebut yang sedang sibuk melayan beberapa pelanggan yang mungkin kehausan seperti aku.

“Air jagung satu bang,” pintaku sambil tersenyum pada lelaki tersebut.

Laju sahaja mulutku memanggilnya abang padahal wajahnya kelihatan hampir sebaya denganku. Aku memerhatikan tangannya yang lincah menuang air jagung ke dalam cawan plastik. Dalam hati aku tertanya mengapa dia menguruskan perniagaan itu seorang diri. Tiadakah sesiapa rakan atau saudara mara yang sudi membantunya? Seketika aku terpandang beberapa parut pada bahagian pelipat lengannya. Kemudian mataku meyorot pada tubuhnya yang agak kurus dan wajahnya yang cengkung.

“Seringgit,” katanya sambil menghulurkan secawan air jagung padaku.

Aku yang pada ketika itu sedang leka memerhatikannya tersentak mendengar suaranya dan matanya yang agak cengkung merenungku. Seketika aku berasa malu dengan tindakanku sebentar tadi.

“Maisarah, cepat la,” aku berpaling dan berlalu setelah mendengar namaku dipanggil oleh Raihan, rakan serumahku.

Aku menghampiri Raihan dan tersenyum namun aku berpaling semula ke belakang setelah Raihan menunjukkan sesuatu padaku. Lelaki tadi masih memerhatikan aku. Sejenak kami berpandangan namun aku segera menarik tangan Raihan ke dalam kereta Satria Neo pemberian ayah untukku.

“Kau kenal ke lelaki tadi tu?”Raihan bertanya setelah kami sampai ke rumah dan sedang berbaring di dalam bilik menghilangkan lelah berjalan seharian membeli barang.

Selepas ke Mydin kami ke Astaka membeli beberapa lagi barang keperluan dan kemudian aku menemani Raihan ke Pasar Payang untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang semasa cuti pertengahan semester nanti. Aku tidak membeli apa-apa kerana aku bercadang untuk tidak pulang ke kampung. Mengenangkan ibu dan ayah yang tinggal jauh,aku lebih suka tinggal di rumah sewa berbanding pulang ke rumah saudara-mara yang lain.

“Oi, termenung pulak. Kau dengar tak aku tanya tadi?”Raihan menyiku lenganku dan mengulangi soalannya tadi.

Bukan aku tidak mendengar cuma aku kembali teringatkan pemuda yang menjual minuman di Mydin tadi setelah Raihan bertanya padaku tentangnya.

“Tak kenal. Kenapa?”tanyaku kembali.

“Aku tengok dia macam kenal kau je. Macam ada sesuatu yang dia nak tahu dari kau,”Raihan memberikan pendapatnya. Aku berfikir sejenak.

Adakah pandangan aku pada lelaki itu membuatkan dia berfikir sesuatu?

“Tak ada la…Pandai-pandai je kau ni,”aku bingkas bangun untuk mengambil wudhuk menunaikan solat Zuhur yang sudah hampir sampai ke penghujung waktu. Raihan merenung aku dengan pelbagai tanda tanya.

Minggu seterusnya aku ke Kuala Terengganu lagi tetap kali ini aku keseorangan kerana ingin membeli barangan yang diperlukan untuk menjalankan jualan di gerai yang ditubuhkan oleh kelab Biodiversiti sempena pesta Konvokesyen. Ramai yang ingin menemani namun aku menolak, bukan tidak sudi namun lebih mudah membeli barang-barang sendiri daripada keluar beramai-ramai. Macam-macam karenahnya nanti.Sedang sibuk aku meneliti senarai barangan yang hendak aku beli, aku terpandangkan beberapa cawan plastik yang tinggal di satu sudut kedai tersebut. Aku berlalu untuk mendapatkannya sebelum ada orang lain yang terlebih dahulu membelinya. Lagipun aku sudah malas hendak ke kedai lain setelah dua buah kedai aku pergi namun barangan yang aku cari masih belum aku temui.

“Sorry,”aku tersentak ketika seorang lelaki turut ingin mengambil bungkusan cawan tersebut.

Seketika kami berpandangan kemudian aku melarikan pandangan. Lelaki di hadapanku adalah lelaki yang sama ketika di gerai air dahulu.

“Tak berniaga ke hari ni?”aku meramahkan diri setelah aku melihat dia mula untuk berlalu pergi dari situ.

Lelaki itu menghentikan langkahnya sejenak sebelum menghayun langkah untuk terus pergi tanpa menjawab pertanyaanku tadi.Aku mengekorinya sehingga keluar kedai. Tidak jadi aku membeli cawan plastik tadi. Hati aku ingin tahu apa yang membuatkan lelaki itu ingin cepat pergi setelah melihat aku. Pernahkah aku melakukan apa-apa yang menyakiti hatinya?

“Nanti,saudara,”aku cuba menghalang. Cubaan aku berhasil apabila lelaki itu berpaling.

“Awak nak nak apa?”pertama kali aku mendengar suara lelaki itu pada pertemuan hari itu setelah aku mendengar suaranya semasa aku membeli air di gerainya dahulu.

“Boleh kita bercakap sekejap?”aku memberanikan diri. Hatiku benar-benar ingin tahu.

“Nak buat apa?Tak cukup ke awak pandang saya dengan riak muka yang menjijikkan tu?Saya sedar siapa saya,”lelaki itu tiba-tiba bersuara penuh emosi.

Aku terpana sejenak. Tidak pernah terlintas di hati aku untuk memandangnya seperti apa yang dikatakan lelaki itu tadi.

“Saya tak faham,”dahiku berkerut seribu. Lelaki itu mengeluh panjang.

“Pandangan awak pada saya hari tu membuatkan saya rasa diri saya ni jijik sangat. Saya sedar diri saya seorang bekas penagih, tapi orang macam awak yang buat saya rasa berat hati untuk meneruskan kehidupan saya,”lelaki itu diam sejenak.

Terjawab segala teka-teki yang bermain di fikiranku. Namun, tidak sedikit pun terlintas padaku untuk aku membencinya. Aku tahu lelaki ini perlukan sokongan dan bimbingan dari orang yang terdekat.

“Saudara,”aku menahan sebelum lelaki itu melintas jalan.

“Apa lagi?”lelaki tadi masih meninggikan suara. Aku cuba berlagak tenang.

“Saya rasa saudara dah salah faham,”kataku kemudian. Pemuda itu hanya berdiam diri.

“Sudahlah,saya dah bosan jumpa orang macam awak,”lelaki itu terus berlalu dengan prasangkanya.

“Saudara,saya boleh bantu kalau saudara sudi,”aku melaung, tidak pasti sama ada lelaki itu mendengar atau tidak.

Tiba-tiba aku teringat pada sepupuku seorang pensyarah Al-Quran dan Sunnah yang bekerja di UIA. Kadang- kadang sepupuku itu bertugas sebagai sukarelawan memberi ceramah di pusat serenti dan rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia. Launganku tidak diendahkan.Aku kembali ke kedai untuk mengambil semua barangan yang telah aku beli sebentar tadi. Terkejut aku melihat tiga plastik besar barang-barang yang telah kubeli. Menyesal pula menolak pelawaan Raihan untuk turut sekali tadi.

“Tokey,boleh tolong hantar barang-barang saya ni ke kereta?”aku memberanikan diri bertanya pada seorang lelaki cina yang kelihatan seperti tuan punya kedai.

Takkan tak boleh bantu sedangkan aku telah berbelanja banyak di kedainya. Lelaki cina itu memandang ke dalam kedai memanggil seorang pekerjanya.

“Tak pe,biar saya bawa.”

Aku sedikit tersentak dengan suara seseorang yang menegurku. Lelaki tadi tersenyum memandangku sambil di tangannya sudah ada dua beg plastik barangan yang aku beli. Entah bila dia berpatah balik aku sendiri tidak sedar.

“Kenapa?Tak boleh?Sebelum awak tolong saya apa salahnya saya tolong awak dulu,”lelaki itu terus bersuara setelah melihat tiada respon dariku.

Seketika kemudian aku tersenyum dan membawanya sehingga ke kereta. Sempat aku menjeling ke gerainya yang kosong hari itu.

“Saudara…,”kata-kataku dipintas sebelum sempat kuhabiskan.

“Ikmal,panggil saya Ikmal,”lelaki itu tersenyum.

Dapat kulihat seraut wajahnya yang tersenyum seolah-olah menuntut janjiku untuk membantunya tadi. Mungkin kerana itu dia berpatah semula ke kedai kami bertemu tadi.

“Oo…Saya Maisarah,”aku membalas senyumannya.

“Tak berniaga ke hari ni?”tanyaku semasa kami memasukkan barangan ke dalam bonet kereta. Ruang yang agak sempit menyebabkan barang-barang perlu disusun dengan betul.

“Tak,hari ni setiap awal bulan saya memang tak berniaga. Keluar beli barang-barang yang dah habis untuk mulakan perniagaan esok,”ceritanya panjang. Aku menyisip air oren yang telah kutempah tadi bagi membasahkan tekak.

“Mai buat apa beli barang banyak-banyak macam tu?Ada bisnes juga ke?Bukan ke Mai seorang student?”bertalu-talu pertanyaan diajukan kepadaku sehingga aku seperti ingin ketawa mengenangkan sikapnya.

Baru tadi dia memarahi aku dan sekarang ramah pula dia berbual denganku.

“Memang Mai belajar lagi tapi minggu depan kolej Mai ada buat pesta sempena konvokesyen.Jadi kami satu kelas bercadang nak buka gerai jual minuman,”ceritaku serba sedikit.Ikmal mengangguk.

“Dulu Ikmal pun bercita-cita nak pergi sampai ke universiti tapi…,”Ikmal hanya tersenyum membuatkan aku ternanti-nanti kata-katanya.

“Tapi,kenapa?’tanyaku tidak sabar.

“Betul cakap ustaz dulu, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan segala-galanya.Akibat tersilap langkah dan terlalu mengikut perasaan saya terjebak dengan najis dadah,”Ikmal berjeda seketika. Ada sendu di matanya.Mungkin terkenangkan peristiwa hitam yang pernah dialaminya.

“Err...Kalau tak keberatan.boleh Mai tahu tentang Ikmal sebelum ni?”tanyaku takut-takut. Kami baru berkenalan, mungkin Ikmal belum bersedia menceritakan semua kisah hidupnya padaku.

“Ikmal sekolah agama dulu…Lepas SPM je Ikmal keluar nak cari kerja sementara tunggu keputusan…,”Ikmal diam sejenak. Aku setia menanti.

“Ikmal kerja di pasar malam, tolong pak cik berniaga. Dari situ Ikmal kenal ramai orang. Macam-macam perangai. Sampailah satu hari Ikmal mula belajar merokok. Ikmal lupa pada janji Ikmal pada arwah ayah untuk tidak merokok. Semuanya kerana ayah mati sebab kanser paru-paru disebabkan terlalu banyak merokok,”Ikmal tersenyum tawar.

Aku hanya melihat wajah tenang yang sengaja dibuat-buat oleh Ikmal. Aku tahu hatinya sayu.

“Tak cukup dengan merokok,Ikmal hisap ganja. Duit kerja Ikmal habis ke benda-benda tak berguna tu je. Ibu meninggal pun sebab Ikmal. Ibu terkejut bila polis datang ke rumah cari Ikmal. Bila polis cakap Ikmal menagih dadah terus ibu rebah. Masa tu ibu pergi selama-lamanya. Ikmal tak sempat mohon maaf dari ibu.Ikmal berdosa,”kali ini air jernih mula bergenang di tubir mata lelaki yang baru kukenali itu.

Betapa lama dia mencari seseorang untuk bercerita dan meluahkan kekesalan yang terbuku di hatinya namun tiada siapakah yang sudi mendengar?

“Saudara mara Ikmal dah tiada ke?”aku bertanya.

Sejak awal pertemuan di gerai air tempoh hari aku terdetik untuk bertanya tentang saudara mara lelaki itu. Ikmal masih cuba tersenyum.

“Ikmal hanya ada kakak. Dia dah pergi bersama suaminya. Marah betul dia pada Ikmal. Katanya sebab Ikmal ibu meninggal. Harta yang ayah waris pada Ikmal pun dia ambil. Katanya Ikmal tak layak. Ikmal tak nak pun semua harta tu. Ikmal cuma nak dia faham Ikmal yang Ikmal bukan sengaja pilih jalan ni,”Ikmal memandang ke jalanraya dengan pandangan yang kosong. Aku hanya berdiam diri. Dalam hatiku nekad ingin membantunya.

“Kawan-kawan?”tanyaku pendek.

“Kawan, Mai…Masa senang dia ada la, bila kita susah, dah kena buang dengan keluarga sendiri, dia pun hilang.Masa Ikmal kena tangkap dulu seorang pun tak datang jenguk. Ikmal pun pelik kenapa Ikmal seorang je yang kena,”adunya.

“Mungkin Tuhan sayangkan Ikmal. Kalau tidak mungkin Ikmal tak berubah sampai sekarang atau mungkin lagi teruk,”kataku menyedapkan hatinya.

“Tapi Tuhan dah ambik ibu Ikmal,”air matanya semakin deras mengalir. Sayu hatiku melihat.

“Ikmal,ajal maut di tangan Tuhan. Tuhan dah atur hidup kita cukup cantik Ikmal. Kadang-kadang dia tak bagi apa yang kita nak kerana Dia dah ada yang lebih baik untuk kita. Dia ambil orang yang kita sayang sebab Allah nak duga kita. Allah dah janji tidak akan lengkap seseorang muslim itu jika dia tidak diuji dengan dugaan setelah dia mengucap dua kalimah syahadah. Mai yakin Ikmal tahu tentang itu sebab Ikmal sendiri dari sekolah agama,”aku bersyarah panjang. Aku mengutip kembali segala ilmu yang aku belajar ketika di sekolah dahulu.

Lama Ikmal terdiam. Mungkin memikirkan kata-kataku tadi. Lama jugak kami berdua hanya berdiam diri. Mungkin Ikmal sudah sedikit lega sekarang.

“Tadi Mai cakap Mai boleh bantu Ikmal. Macam mana?”Ikmal bersuara menuntut aku menunaikan kata-kataku ketika di kedai tadi. Aku tersenyum.

Gerai nombor 43 semakin sibuk menjelang tengah hari apabila semakin ramai orang yang datang.Aku sudah tidak menang tangan. Mujur ada beberapa lagi yang turut membantu. Walaupun sudah diberi tugasan mengikut jadual namun aku harus berada di situ sepanjang masa kerana aku antara ahli jawatankuasa tertinggi yang diamanahkan menjaga gerai tersebut.

“Assalamualaikum,”sapa seorang lelaki. Aku berpaling kemudian tersenyum.

“Wa’alaikumussalam,”jawabku.

“Sibuk sangat ke?”tanyanya.

Malu pula aku apabila Ikmal datang melihat keadaanku yang agak tidak terurus. Apron yang aku pakai agak comot dengan warna-warna air yang dijual. Melayan orang yang ramai kadang-kadang tak sedar air tertumpah ke baju.

“Sibuk la juga,”aku meminta Anita menggantikan tempatku sementara aku berjalan dengan Ikmal di tapak pesta.

“Banyak juga gerai kat sini,”Ikmal memandang sekeliling.

“Awak dah makan ke?”tanyaku. Dari tadi perutku berbunyi minta diisi. Pagi tadi aku hanya bersarapan sekeping roti.

“Dah.Mai tak makan lagi ke?”Ikmal pula bertanya.

Aku hanya menggeleng. Aku hanya menurut langkah Ikmal ke sebuah gerai yang menjual goreng pisang dan beberapa makanan lain. Aku hanya melihat Ikmal membeli goreng pisang dan keropok lekor. Mungkin untuk dibawa pulang ke rumah.

“Nah, makanlah!”terkejut aku apabila Ikmal menghulurkan makanan itu kepadaku.

“Ambillah.Saya ikhlas,”dia tersenyum. Tidak sampai hati menolak lagipun perutku sedang lapar, aku menyambut makanan tersebut.

“Terima kasih,”ujarku.

“Kita duduk sana la,”Ikmal berjalan ke arah sebuah pondok berhampiran perpustakaan. Aku hanya menurut tanpa banyak kata.

“Lapar sangat ke?”Ikmal bertanya setelah lama aku makan tanpa berkata apa-apa. Terasa darah menyerbu ke muka tika itu.

“Sibuk sangat jaga gerai sampai makan pun tak. Baru sehari, kalau hari-hari macam saya macam manalah agaknya,”sinis suara Ikmal. Namun aku tak ambil hati.

“Bila sepupu Mai tu nak datang?”tanya Ikmal. Aku sudah habis makan semua makanan yang dibelinya untukku.

“Erm…Minggu ni. Kebetulan dia ada motivation talk kat Darul Hilmi, rumah anak yatim kat Teluk Ketapang tu,”aku bercerita tentang perbualanku dengan Iqbal tempoh hari.

“Tak sangka ada juga orang yang sudi tolong saya. Lepas keluar dari pusat serenti dulu, saya betul-betul menyesal tapi saya sedih sebab tak ada sesiapa yang sudi tolong saya untuk teruskan sisa-sisa hidup saya ni. Saya belajar sendiri. Segala ilmu yang saya belajar di sekolah dulu saya cuba ingat balik. Apa yang paling saya kesalkan, semua surah yang saya hafal dulu saya dah tak ingat.Saya berdosa sangat,”Ikmal mengeluh panjang. Benar-benar dia insaf akan khilafnya yang lalu.

“Semua tu dugaan Ikmal.Bersabar je la,”aku meyakinkan.

“Saya nak bagitahu Mai. Saya baru beli handset semalam. Alhamdulillah ada rezeki lebih. Senang nak contact Mai nanti,”ceria wajah Ikmal menunjukkan telefon bimbit yang baru dibelinya. Aku tersenyum.

“Senang la Ikmal nak tanya apa-apa pada Mai. Ikmal ni macam dah jahil sangat,”Ikmal menundukkan wajahnya.

“Saya ni bukannya pandai sangat Ikmal. Apa yang saya belajar dulu tu bolehlah saya nak bantu Ikmal,”aku merendah diri.

Aku bukan seperti muslimah yang lain. Yang bertudung labuh dan lengkap menutup aurat. Aku sekadar menutup yang wajib sahaja. Namun aku amat berharap untuk menjadi seperti mereka suati hari nanti andai hidayah Allah datang kepadaku.

“Ok la.Saya balik dulu. Gembira dapat jumpa Mai. Rasa tenang pulak. Mai je yang sudi dengar masalah saya,”Ikmal berkata-kata.

Aku dapat melihat keikhlasan dari senyuman Ikmal. Aku cuma tersenyum.

“Lelaki yang kat gerai air hari tu kan?”Raihan bertanya setelah aku kembali ke gerai. Ketika itu orang ramai mula berkurangan. Mungkin hari sudah agak petang dan cuaca agak panas.

“A’ah.Ko ingat lagi ke?”tanyaku sekadar berbasa-basi. Raihan mengangguk.

“Macam mana ko boleh rapat dengan dia. Lain macam je aku tengok dia. Macam mat drug je…Cam lalok je,”lantang mulut Raihan berbicara. Kalau Ikmal ada bersama tentu dia akan berkecil hati.

“Panjang ceritanya, Rai. Ko jangan serkap jarang. Nanti aku ceritakan hal yang sebenar di rumah,”aku berlalu ke perpustakaan untuk menunaikan solat Zuhur di surau.

Iqbal tersenyum di sisi kereta Honda Civicnya berwarna hitam. Mujur dia tidak menarik muka kerana aku agak lewat tiba di kampus. Sengaja aku berjanji untuk berjumpa di kampus, kalau ke rumah nanti apa pula kata orang sekeliling. Sudahlah Iqbal tu masih teruna dan hanya 7 tahun lebih tua dariku. Namun kerana ilmu agamanya yang luas aku sangat menghormatinya.

“Lame ke tunggu?”sapaku sebaik sahaja berada di hadapannya.

“Tak de la…Ada la dalam satu jam,”ujarnya yang kemudian ketawa. Segak penampilan Iqbal petang itu berbaju kemeja biru kehijauan yang agak lembut dengan seluar slack hitam.

“Ni pakai smart-smart ni nak mengorat budak KUSTEM ke?”aku menduganya. Berderai ketawa Iqbal.

“Mana ada. Abang datang terus dari Darul Hilmi sebab dah janji dengan Mai tau. Elok je habis talk terus abang datang. Makan pun belum lagi,”Iqbal bersungguh-sungguh bercerita. Aku hanya mencebikkan bibir.

“Abis tu nak suruh orang belanja la ni?”aku sekadar bergurau.

“Bole jugak,”Iqbal menyambut gurauanku dengan senyuman yang nakal.

“Jangan harap. Orang yang dah kerja la kena belanja,”aku memprotes.

“Ye la. Naik kereta abang nanti abang hantar balik ke sini. Kalau Mai bawak kereta sendiri karang mesti tertinggal jauh.”

Aku sudah menarik muka berpura-pura berjauh hati. Iqbal sekadar tersenyum kerana tahu rajukku tak lama.

“Siapa orang yang Mai cakap nak bawak jumpa dengan abang tu?Bakal suami ke?”Iqbal sempat bergurau dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

“Mana ada.Pandai-pandai je,”aku mencuit lengan Iqbal. Hubungan kami seperti adik-beradik semenjak Iqbal tinggal di rumahku selepas habis bersekolah kerana bekerja sebagai guru sandaran yang ayahku tawarkan padanya.

“Eh, tak betul ke? Mana la tau Mai dalam diam-diam dah ada ‘abe’,”Iqbal berjenaka. Aku tidak membalas kerana sedang menunggu Ikmal menjawab panggilanku.

“Assalamualaikum,”sapaku sebaik terdengar talian disambut.

“Wa’alaikumussalam.”

“Ikmal, awak sibuk tak hari ni? Meniaga ke?”tanyaku ingin tahu.

Jika Ikmal tidak sibuk aku ingin mengajaknya keluar makan bersama Iqbal. Boleh jugak Iqbal berbual dan mengenali Ikmal sebelum membimbingnya.

“Saya baru nak tutup gerai.Kenapa Mai?”Ikmal bertanya. Senang hatiku mendengar kata-katanya.

“Sepupu saya yang saya cakapkan hari tu dah sampai, kalau boleh nak ajak Ikmal keluar makan sama-sama. Boleh kenal-kenal dulu,”aku menyatakan tujuanku. Iqbal di sebelah sempat tersenyum-senyum mengejek. Malas aku melayan karenahnya.

“Erm…Boleh jugak,”Ikmal bersetuju setelah lama berdiam diri. Mungkin segan untuk turut serta bersama kami.

“Kalau macam tu, Ikmal tunggu kami di gerai. Kami datang jemput Ikmal,”aku menyatakan cadanganku.

Pandai-pandai je aku padahal Iqbal yang memandu kereta. Siapa suruh tumpangkan aku. Aku ketawa dalam hati.

“Err…Kalau saya tunggu depan Masjid Putih boleh? Saya belum solat Asar lagi,”ujarnya lambat-lambat. Aku hanya mengiyakan sebelum memutuskan talian.

“Bertuahnya dapat lelaki baik macam tu. Jaga solat. Untung Mai,”Iqbal masih tidak habis-habis menyindir setelah aku menyatakan yanag Ikmal menunggu di Masjid Putih kerana mahu bersolat Asar.

“Abang ni tak habis-habis tau. Sikit-sikit dah la,”ujarku bengang. Iqbal ketawa melihat wajahku yang masam mencuka.

“Macam jeruk kelubi,”Iqbal menyambung tawanya.

Tiba di Masjid Putih aku ternampak kelibat seorang lelaki sedang menunggu. Ikmal! Detik hatiku.

“Dah lama tunggu?”aku bertanya setelah keluar dari kereta. Iqbal masih di dalam.

“Eh, tak perasan Mai tadi. Ingatkan siapa, kereta lain,”Ikmal tersenyum.

“Kereta sepupu Mai,”aku menjawab ringkas.

“Ikmal!”tiba-tiba Iqbal meluru kepada Ikmal yang tersentak mendengar namanya dipanggil. Aku turut terkesima. Bila pula mereka berkenalan?

“Dah lama ke kau berniaga di situ?”Iqbal bertanya.

Aku yang duduk di sebelah Iqbal lebih banyak mendiamkan diri membiarkan kedua-dua sahabat ini melepaskan rindu masing-masing. Melalui perbualan mereka aku baru mendapat tahu yang Iqbal dan Ikmal adalah rakan dari satu sekolah yang sama. Mereka berkawan rapat namun terputus hubungan setelah Iqbal melanjutkan pelajaran ke Mesir.

“Lama juga.Elok lepas aku keluar dari pusat serenti,”Ikmal menjawab tenang. Air wajahnya tampak riang bertemu dengan Iqbal.

“Aku selalu juga pergi buat ceramah dekat pusat-pusat serenti ni, tapi tak perasan pun kau. Kau duduk di pusat serenti mana dulu?”Iqbal bertanya. Pertanyaannya lama dibiarkan menyepi.

“Ikmal,”Iqbal memanggil setelah lama Ikmal berdiam diri.

“Ha? Err…Sebenarnya aku selalu hadiri ceramah yang kau bagi. Tak silap aku sepanjang aku berada di sana, dua kali kau datang bagi ceramah. Tapi…aku malu. Aku malu nak tegur kau. Aku dah jadi sampah, Iqbal,”lirih kedengaran suara Ikmal. Dia menundukkan pandangan. Aku terpana sejenak.

“Kenapa kau cakap macam tu? Kau dah lupa pesan Ustaz Shahir dulu? Allah sentiasa membuka pintu taubat terhadap hamba-hambanya yang ingin bertaubat dan meninggalkan perbuatan yang tidak baik yang mereka lakukan.Kau masih ada peluang Ikmal,”Iqbal berbicara panjang.

Sesuai dengan dirinya seorang pensyarah agama dan motivator, setiap tutur katanya menyejukkan hati sesiapa yang mendengarnya. Melihat wajahnya sahaja hati boleh menjadi senang setenang raut wajahnya yang bersih.

“Aku tahu tapi…,”Ikmal mematikan kata-katanya.

“Lepas ni kau ikut aku balik Kuala Lumpur nak?”tiba-tiba Iqbal mengusulkan cadangan yang tidak pernah aku duga. Ikmal tersentak.

“Buat apa? Tak perlulah, Iqbal. Aku dah lali hidup macam ni. Aku tak nak menyusahkan orang dah,”Ikmal menolak pelawaan Iqbal.

“Maisarah kata kau nak suruh aku bimbing kau kan? Kalau di sana aku boleh bawa kau sama-sama mendengar ceramah. Kalau aku ke mana-mana pun boleh kau tolong aku sebagai pembantu aku. Susah jugak aku seorang diri menguruskan motivasi di banyak tempat,”Iqbal berusaha memujuk. Kesungguhannya terserlah. Dalam diam aku bersetuju. Mereka pun sudah lama berkawan, apa salahnya jika Ikmal bersetuju.

“Jom la, Ikmal,”Iqbal masih mengharap.

“Aku tak nak susahkan kau, Iqbal,”Ikmal menyatakan alasan.

“Ikmal, kat sana nanti aku tolong kau dapatkan tender untuk kantin UIA. Kebetulan ada kantin baru yang dibuka di sana. Aku berharap sangat ni, Ikmal,”Iqbal semakin bersemangat. Aku membiarkan Ikmal membuat keputusan sendiri.

“Baiklah.Tapi sewa rumah bahagi dua k?”Ikmal tersenyum. Iqbal tertawa.

“Kau tak payah risau la tentang tu semua. Pandai la aku uruskan,”Iqbal menepuk bahu Ikmal.

Aku tersenyum lega namun jauh di sudut hatiku tiba-tiba berasa sedih. Pemergian Ikmal bersama Iqbal akan membuatkan aku sedikit sunyi selepas ini. Jika tidak selalu juga aku dan Ikmal berbual bersama-sama sesekali aku keluar ke Bandar. Raihan pun senang dengan Ikmal. Katanya, dari perwatakan Ikmal dia tahu Ikmal bukan sengaja memilih jalan hidup yang begitu.

6 bulan berlalu…

Aku masih berhubung dengan Ikmal. Alhamdulillah dia semakin gembira di sana. Katanya dia seperti dilahirkan semula setelah ramai rakan-rakan Iqbal di sana menerimanya dengan baik. Sedikitpun tidak pernah menyisihkannya yang merupakan seorang penagih dadah. Hidupnya kini lebih ceria. Minggu depan Iqbal akan ke Kuala Terengganu lagi, Ikmal akan ikut serta. Tidak sabar aku menantikan kehadiran mereka, ingin melihat perubahan Ikmal dan mendengar cerita-cerita yang menarik dari mereka berdua.

“Lama ke tunggu,”Iqbal menyapaku yang sedang duduk di foyer luar perpustakaan. Aku tersenyum sambil tercari-cari kelibat Ikmal. Rindu benar nak berjumpa dengan sahabat itu.

“Tak lah…Ada la dalam satu jam,”Aku memulangkan paku buah keras pada Iqbal namun senyumku mati apabila melihat wajah Iqbal yang serius dan hanya tersenyum tawar. Mungkin penat memandu semalaman.

“Kata nak datang hari Ahad. Hari Jumaat dah sampai?,”ujarku setelah Iqbal mengambil tempat duduk di hadapanku. Iqbal cuma tersenyum tawar seperti tadi.

“Ikmal mana?”tanyaku setelah dari tadi tidak melihat kelibatnya.

“Err…Mai.Ikut abang,”Iqbal bersuara perlahan. Aku terdiam. Seperti ada sesuatu yang berlaku.

“Ke mana?”tanyaku.

Iqbal tidak menjawab tetapi terus bingkas menuju ke kereta. Aku juga tidak banyak tanya terus masuk ke dalam kereta. Hatiku jadi tidak sedap setelah Ikmal tiada di situ.

Sampai sahaja di Surau Seberang Takir aku lihat ramai orang yang bersongkok dan kopiah. Yang wanita bertudung dan berbaju kurung. Aku semakin tidak sedap hati.

“Bang, kenapa ni bang?”tanyaku ingin tahu.

“Abang datang ke sini awal dua hari sebab abang pulang dengan jenazah Ikmal,”lirih suara Iqbal.

Bagai halilintar yang berdentum di langit sebaik aku mendengar berita tersebut. Baru dua hari lepas aku menghubunginya. Tidak banyak yang berubah dalam kata-katanya. Dia cukup ceria berbual denganku. Sesekali dia menyatakan yang dia amat bersyukur akan pertemuanku dengannya yang membawanya ke jalan yang lurus dan mengenali dirinya yang dulu.

“Mai.”

Iqbal memegang bahuku. Tatkala itu pandanganku sudah kelam dan hampir pitam namun pegangan Iqbal menguatkan semangatku. Mataku semakin kabur dengan air mata yang bergenang. Iqbal memimpin aku perlahan ke dalam surau. Di tengah surau kulihat sekujur jasad terbujur kaku siap dikafankan menunggu masa bertemu Munkar dan Nakir di alam barzakh. Aku menguatkan semangatku menatap wajahnya. Tenang. Bersih sesuci hatinya. Al-Fatihah.

“Ikmal menghidap HIV dah lama. Dia beritahu abang pun lepas dah lama abang tinggal dengan dia.Makin lama dia makin teruk tapi dia pesan pada abang jangan bagitahu Mai. Dia tak nak Mai risau,”Iqbal bercerita dalam pulang dari tanah perkuburan. Aku berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang beriman.

“Malam Rabu lepas, selepas Mai telefon dia tiba-tiba keadaannya semakin tenat. Abang ada di sisi dia masa Mai telefon tu. Masa tu dah seminggu Ikmal berada di hospital. Virus tu terus membunuhnya, Mai”Iqbal menahan sebak mengenangkan detik-detik akhir Ikmal bersamanya.

Fikiranku melayang. Terbayang wajah Ikmal yang penuh dengan bintik-bintik merah angkara virus durjana itu. Namun wajahnya tampak tenang dan bercahaya seolah-olah bersedia untuk menemui Rabbnya.

“Dia tinggalkan pesan buat Mai,”aku menyambut kertas yang dihulurkan oleh Iqbal.

“Mai baca la dulu.Abang tunggu kat kereta.”


Assalamualaikum,
Mai sihat ke? Sebelum Ikmal terus menulis Ikmal nak minta maaf kalau Mai tak senang dengan Ikmal sebab sembunyikan perkara sebesar ni dari Mai.
Semenjak pertemuan dekat gerai air hari tu Ikmal rasa sesuatu dalam diri Ikmal. Ikmal cuba buang jauh-jauh perasaan tak senang tu tapi Ikmal dapat petunjuk pada satu malam bila Ikmal mimpi satu cahaya terang datang pada Ikmal. Dalam sinaran cahaya tu Ikmal nampak Mai.Tersenyum pada Ikmal. Sebab tu masa pertemuan kedua di kedai tempoh hari, Ikmal cuba jauh dari Mai. Tapi bila Mai cakap Mai boleh bantu Ikmal, hati Ikmal terdetik dan teringat mimpi malam tu. Sebab tu Ikmal yakin dengan Mai. Pertemuan demi pertemuan hingga membawa Ikmal bertemu dengan kawan lama Ikmal, Iqbal. Semuanya kerana Mai. Ikmal benar-benar bersyukur. Namun kadang-kadang hati Ikmal terdetik alangkah baiknya kalau Ikmal bertemu dengan Mai sebelum semua kisah hitam itu berlaku. Tentu Mai boleh bimbing Ikmal ke jalan yang diredhai. Disebabkan pertemuan dengan Mai, Ikmal dapat rasakan ada insan yang masih ambil berat tentang Ikmal dan tak sisihkan Ikmal. Terima kasih, Mai.

Mai, Ikmal sedang menunggu masa menghabiskan sisa-sisa hidup Ikmal yamg dah tak berapa lama lagi ni. Bila-bila je Ikmal boleh pergi, entah esok, entah lusa. Entah-entah masa Mai baca surat ni kot Ikmal dah tak ada. Tapi Ikmal minta Mai maafkan Ikmal dan doakan Ikmal sejahtera di sisi Allah ye.
Akhir kalam, pesan Ikmal pada Mai jaga diri Mai baik-baik. Semoga Mai menjadi wanita solehah, hiasan yang paling indah di dunia ini dan bakal menjadi penyeri di syurga Al-Jannah kelak. Ikmal bersyukur atas sebuah pertemuan yang Allah aturkan ini. Betul kata Mai, Allah dah aturkan hidup kita cukup cantik dan teratur, hanya kita perlu berfikir hikmah di sebalik semua yang berlaku. Allah ambil sesuatu yang kita sayang kerana Dia ada sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dia ambil ibu Ikmal tapi dia temukan Ikmal dengan Mai. Ikmal benar-benar bersyukur dan harap Mai tak lupakan Ikmal.
Salam ukhwah dari seorang sahabat.

Air mataku menitis membasahi warkah yang berwarna putih itu. Tatapanku tidak berganjak dari warkah itu sehingga Iqbal menyentuh bahuku dan mengajakku pulang.

“Yang pergi tu biarkan pergi. Kita yang masih hidup harus meneruskan hidup kita yang entah bila akan berakhir,”kata-lata Iqbal itu memujuk hatiku. Aku berpaling ke tanah perkuburan yang masih merah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

5 kata pembaca:

husna said...

salam...akhirnya....kau blog kan gak karya2 kau....tahniah la my friends...lame dah aku suruh...kau buat gak akhirnya....good luck...jgn lupe inform aku kalau de karya baru...aku nak jadi org first baca....

rOhock said...

lu penulis berita ka?hahahaha

rOhock said...

gua bergurau je..xgurau x mesra.

megat said...

best jugak ceritanya

.::Nur Faizah Azizan::. said...

Terima Kasih Mr. Megat... =)

 
Copyright 2009 My Karya. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase